Bukti-bukti Cinta Kepada Rasulullah
28 Mac 2007
Ust Dr Abdullah Yasin (Pengerusi Al-Nidaa’)
Ust Dr Abdullah Yasin (Pengerusi Al-Nidaa’)
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ: لاَ يُوْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى اَكُوْنَ أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ
وَالِدِهِ وَوَلِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ
Tidak
(sempurna) iman salah seorang kamu sehingga aku lebih dicintai dari orang
tuanya, anaknya dan semua manusia lainnya. (HR
Bukhari dan Muslim)
Syarah Al-Hadis:
Hadis di atas adalah bukti yang amat jelas
tentang kewajipan kita mencintai Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam).
Malahan iman seseorang belum digolongkan sebagai iman yang sempurna sehingga
baginda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) lebih dia cintai melebihi
cintanya kepada kedua ibubapanya, anak-anaknya dan semua manusia lain.
Penggunaan istilah أَحَبُّ )) iaitu (lebih mencintai) di dalam hadis di
atas mengisyaratkan bahwa cinta kepada Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam)
yang dimaksud bukanlah sekedar cinta tetapi mestilah cinta yang mengatasi atau
melebihi daripada cintanya kepada yang lain. Jika cintanya tidak sampai ke
tahap itu berarti imannya belum sempurna.
Dan di dalam hadis di atas khusus disebut
tentang ibubapa dan anak-anak, karena kedua jenis manusia inilah yang paling
dikasihi olih seseorang. Bahkan terkadang-kadang kedua-duanya lebih dikasihi
dari dirinya sendiri.
Ini menunjukkan betapa seorang mukmin
dituntut mengasihi baginda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) hatta
terhadap dirinya sendiri. Ini sebagaimana tegoran Rasulullah (sallallahu alayhi
wasalam) terhadap Omar Al-Khattab (ra) yang berkata:
Ya Rasulullah,sesungguhnya tuan adalah
orang yang paling saya kasihi mengatasi segala-galanya kecuali terhadap diri
saya sendiri.
Mendengar kata-kata itu, lalu baginda
pun bersabda:
Tidak, demi diriku di tanganNya,
sehingga aku lebih engkau cintai dari dirimu sendiri
Lalu Omar menjawab: Sesungguhnya
sekarang, demi Allah, tuan adalah orang yang paling saya kasihi walaupun
terhadap diri saya sendiri.
Dan mendengar kenyataan itu bagindapun
bersabda: Sekarang (barulah sempurna imanmu hai Omar. [HR Bukhari]
Makna Cinta Kepada Rasul
(sallallahu alayhi wasalam).
Cinta kepada Rasulullah (sallallahu alayhi
wasalam) maknanya kecenderungan hati seorang muslim kepada Rasulullah
(sallallahu alayhi wasalam) yang kesannya mengatasi cintanya kepada
segala-galanya samada terhadap dirinya, ibubapanya, anak-anaknya dan semua
manusia lain.
Faktor-faktor Pendorong Mencintai
Rasul.
Sungguh banyak faktor pendorong sehingga
hati kita terpikat mencintai baginda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam),
antara lain:
(1) Kerana cinta
seorang muslim kepada baginda (sallallahu alayhi wasalam) adalah follow-up
atau realisasi daripada kecintaannya terhadap Allah SWT. Cinta kepada Allah
adalah asas segala cinta yang disyariatkan. Kita mestilah mencintai segala yang
dicintai Allah seperti cinta kepada para rasul, para nabi, para malaikat,
hamba-hambaNya yang salih, amal salih, akhlak yang mulia. Jadi cinta kepada
Allah mewajibkan kita agar cinta pula kepada apa yang dicintaiNya. Allah
berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 31:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ
فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ
غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah:
“Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, (maka) ikutilah aku, niscaya Allah
mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Ali
Imran 3:31)
(2) Karena Allah
memilih beliau sebagai makhluk yang paling mulia samada dengan memilihnya
sebagai penghulu segala rasul, menurunkan kepadanya Al-Quran, memuliakannya
dengan selawat dan menganugerahkan kepadanya derjat khullah (khalil) iaitu
derjat yang lebih tinggi daripada mahabbah (cinta). Derjat ini tidak diberikan
olih Allah kecuali untuk Nabi Ibrahim dan baginda (sallallahu alayhi wasalam).
Allah jadikan beliau sebagai rahmat bagi seluruh alam, Allah memuliakan beliau
dengan memberinya syafaat ‘uzma (pertolongan agung) di hari kiamat nanti dll.
(3) Karena kasih
sayangnya yang amat sangat terhadap umatnya, kesungguhannya memberi hidayat dan
usaha gigih menyelamatkan umatnya daripasa kebinasaan. Firman Allah:
لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ
أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ
رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya
telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olihnya
penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat
belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. (At-Taubah 9:128)
(4) Karena nasihat
dan ihsannya yang luarbiasa terhadap umatnya. Beliau telah bimbing umatnya
supaya melakukan segala bentuk kebaikan untuk mendekatkan diri mereka kepada
Allah. Dan beliau juga telah ingatkan mereka dari segala keburukan yang bolih
membawa mereka ke jurang kehinaan di dunia dan azab di akhirat. Firman Allah:
لَقَدْ مَنَّ اللّهُ عَلَى الْمُؤمِنِينَ
إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولاً مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ
وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن
قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُّبِينٍ
Sesungguh
Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah
mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang
membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan
mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum
(kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Ali Imran 164)
(5) Karena Allah
telah khususkan untuk beliau budi pekerti dan akhlak yang mulia sebagai pembeda
antara beliau dengan semua akhluk yang lain. Allah berfirman:
وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ
Dan
sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung. (Al-Qalam 68:4)
Atas sebab inilah maka para sahabat sangat
cinta kepada baginda karena mereka menyaksikan sendiri betapa mulianya akhlak
beliau.
Beberapa Bukti Cinta Kita Kepada
Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam)
Walaupun cinta sebenarnya adalah amalan
hati, namun kebenaran cinta mestilah dibuktikan dalam bentuk nyata, apakah
dalam bentuk ucapan atau perbuatan. Sudah menjadi adat resam bahwa apa saja
dakwaan tidak akan diterima kecuali jika ada buktinya, sebab jika setiap
dakwaan manusia diterima maka akan musnahlah neraca keadilan dan kebenaran.
Dan selagi dakwaan cinta kepada Allah,
rasulNya dan orang-orang salih tidak diperlukan pembuktiannya, maka selama
itulah berarti kita memberi laluan kepada puak pelampau membuat bid’ah dan
khurafat sesuka hati mereka di dalam masyarakat kita.
Dan di antara bukti cinta kita kepada Rasul
(sallallahu alayhi wasalam) adalah seperti berikut:
1.
Patuh kepada baginda dan mengikuti ajarannya.
Kepatuhan seseorang terhadap ajaran
Rasulullah bawa adalah bukti yang paling kuat menandakan kebenaran cintanya.
Tanpa mematuhi ajarannya membuktikan kepalsuan dakwaan cintanya.
Al-Hasan Al-Basry dan para salaf berkata:
Suatu kaum mendakwa bahwa mereka cinta kepada Allah, lalu Allah menguji mereka
dengan menurunkan ayat ini (Katakanlah: “Jika benar-benar mencintai Allah,
maka ikutilah aku…) (Ali Imran 31).
2.
Mengagungkan (ta’zim) dan menghormati beliau.
Asas ta’zim kepada nabi ialah dengan
membenarkan segala perkhabarannya, mematuhi segala suruhannya, menjauhi segala
larangannya dan beribadat kepada Allah dengan cara yang disyariatkannya.
Barangsiapa yang tidak memenuhi asas ta’zim di atas maka rosaklah ta’zimnya
kepada Rasul. Dan ada dua kemungkinan yang dapat merosakkan ta’zim seseorang
kepada Rasulullah, iaitu:
Pertama: Tafrit maknanya mengurangi hak-hak
Rasul seperti meragui kejujuran, keadilan dan kebenaran yang beliau bawa,
meninggalkan selawat dan salam terhadapnya, menghina sunnahnya dll.
Kedua: Ifrat maknanya melampaui batas,
menyanjung beliau melebihi martabatnya yang telah ditetapkan olih Allah seperti
mendakwa beliau tahu perkara ghaib secara mutlak, alam ini berasal daripada nur
beliau, beliau telah wujud sebelum wujudnya alam ini dll.
Atas sebab inilah maka Imam Abdul Hadi Al
Muqaddasy membagi ta’sim kepada dua iaitu: Ta’zim masru’ dan Ta’zim ghairu
masyru’.
Ta’zim masyru’ (ta’zim yang disuruh) iaitu
ta’zim atau sanjungan yang disukai olih orang yang disanjungi. Dia reda dengan
sanjungan itu, malah disuruh berbuat demikian dan mendapat ganjaran bagi orang
yang melakukannya.
Ta’zim ghairu masyru’ (ta’zim yang
dilarang) iaitu ta’zim yang dibenci olih orang yang disanjung itu, dia murka
dan diancam dengan dosa bagi yang melakukannya. Ini sebenarnya bukan ta’zim
tetapi sebenarnya ghuluw atau ifrat (melampau). Atas sebab inilah golongan
Syiah Rafidhah bukanlah ta’zim kepada Ali Bin Abi Talib kalau mereka mendakwa
bahwa Alu itu tuhan, nabi atau bersifat maksum dan lain-lain, sebagaimana orang
nasrani bukanlah ta’zim terhadap Isa Bin Maryam kalau mereka sampai mendakwa
Isa itu anak Tuhan. Baginda Rasul (sallallahu alayhi wasalam) bersabda:
Janganlah kamu keterlaluan menyanjung
aku sebagaimana sanjungan yang diberikan orang nasrani terhadap Isa anak
Maryam, sesungguhnya aku hambaNya, olih itu panggilan aku Abdullah (hamba
Allah) dan rasulNya (pesuruh Allah). [HR Bukhari]
Anas Bin Malik berkata bahwa seorang lelaki
(sahabat) berkata kepada Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Ya Muhammad,
ya penghulu kami, hai anak penghulu kami, hai orang yang paling baik di antara
kami, hai anak orang yang paling baik di antara kami. Begitu mendengar
sanjungan itu baginda pun bersabda: Hentikanlah kata-katamu itu, janganlah kamu
rela digoda syaitan, saya adalah Muhammad Bin Abdullah, hamba Allah dan
utusanNya, demi Allah, aku tidak suka kamu mengangkat derjat dan kedudukanku
mengatasi kedudukan yang telah dianugerahkan olih Allah Azza Wa Jalla kepadaku.
[Hadis ini sanadnya sahih dengan syarat Muslim]
3.
Banyak mengingatinya, rindu melihat wajahnya dan ingin sangat bertemu
dengannya. Sabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam):
Orang yang paling aku cintai di kalangan
umatku ialah orang-orang sesudahku yang sangat ingin melihat aku (walaupun
dengan mengorbankan) keluarganya dan hartanya. [HR Muslim]
Ibnu Asatir menyatakan dalam terjemahnya
tentang Bilal Bin Rabah bahwa ketika Bilal akan menghembuskan nafasnya yang
terakhir, isterinya sangat sedih sambil menyebut: Waa Wailaah (alangkah
malangnya), tetapi pada saat itu Bilal sempat berkata: Waa Farhaah (alangkah
gembiranya) karena beliau akan bertemu di alam sana dengan orang yang paling beliau cintai,
iaitu Muhammad dan rakan-rakannya.
Masih wujudkan perasaan seperti ini
dikalangan umat Islam sekarang? Perasaan ini telah lenyap dari alam ini kecuali
orang-orang yang mendapat rahmat Allah. Fikiran kebanyakan manusia hari ini
dipenuhi olih sifat ingin berlumba-lumba mengejar kesenangan duniawi yang murah
ini sehingga sedikit sekali yang ingat kepada Rasulullah, apatah lagi merindui
untuk berjumpa dengannya.
Ingat, bahwa setiap umat akan dibangkit
bersama rasul mereka masing-masing saksi pada Hari BerHisab nanti. Nabi
Muhammad akan menjadi saksi kita. Tidak perlukan kita kepada syafaatnya,
wajarkah kita melupakan orang yang paling berperanan ini?
4.
Mencintai keluarganya, kaum kerabat dan shabat-sahabatnya.
Bukti cinta kita kepada keluarganya dan
sahabat-sahabatnya ialah dengan menghormati mereka, mengakui keutamaan mereka,
memelihara kehormatan dan kedudukan mereka serta benci kepada orang-orang yang
membenci atau menghina mereka. Allah SWT reda kepada meeka, Firman Allah:
وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ
الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ
اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا
الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Orang-orang
yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang
Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah
reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi
mereka syorga-syorga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di
dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar. (At-Taubah 9:100)
Baginda memuji sahabat-sahabatnya, antara
lain sabdanya: Sebaik-baik manusia ialah
(manusia yang hidup dalam) kurunku, kemudian mereka yang mengikutinya, kemudian
mereka yang mengikutinya [HR
Bukhari]
5.
Mencintai sunnahnya dan para ulama yang gigih menyebarkannya.
Orang yang paling teguh pegangannya dengan
sunnah rasul dan gigih berdakwah menyebarkan sunnah ialah para salaf salih dan
pengikut setia mereka yang sehaluan dalam prinsipnya hingga ke hari ini.
Oleh sebab itu kita mestilah hargai
perjuangan ulama masa silam dan menjaga kehormatan mereka serta beradab kepada
mereka dan memaafkan mereka andaikata terdapat kekeliruan yang tidak
disengajakan. Kita mestilah menilai pendapat mereka dengan pemahaman yang
positif, karena tujuan mereka tidak lain kecuali untuk menegakkan agama yang
benar ini. Ini tidak pula bermakna kita tidak bolih menjelaskan atau memperbetulkan
kekeliruan mereka. Itu adalah tugas para ulama hingga hari kiamat.
Yang kita maksudkan ialah kita mestilah
berbaik sangka terhadap ulama masa silam dan bersopan dengan mereka karena
merekalah pembawa syariat ini, kalaulah Allah tidak jadikan mereka sebagai
pemikul tugas ini, barangkali agama ini tidak sampai pada kita.Kalau mereka
orang-orang terdahulu yang baik (salaf salih) marilah kita menjadi orang-orang
akhir zaman yang baik (khalaf salih).
Jangan pula sampai terjadi: kita ambil
manfaat daripada peninggalan atau warisan mereka, tetapi di saat yang sama kita
ingkari kelebihan mereka atau kita cari-cari kekurangan mereka sampai akhirnya
kita lupakan keutamaan dan jasa baik mereka. Inilah antara lain sebab utama
hilangnya keberkatan agama dan ilmu dari kita menerima pandangan mereka, kita
kasihi mereka dan kita mohon ampunan kepada Allah untuk mereka. Beginilah
sepatutnya sikap orang mukmin sepanjang zaman.
Firman Allah:
وَالَّذِينَ جَاؤُوا مِن بَعْدِهِمْ
يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا
بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا
إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan
orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: Ya
Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman
lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati
kami terhadap orang-orang yang beriman, ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha
Penyantun lagi Maha Penyayang.
(Surah
Al-Hasyr 59:10)
Dengan tulisan ini saya harapkan semoga
para jamaah dapat melihat dengan jelas betapa dustanya dakwaan sesetengah orang
yang kononnya mengaku cinta kepada Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam),
bermacam-macam amalan bid’ah mereka buat yang kononnya ingin menyanjung dan
menta’zimkan Nabi (sallallahu alayhi wasalam), padahal Nabi (sallallahu alayhi
wasalam) tidak suka dan sangat benci dengan cara-cara yang mereka reka-reka
itu. Saya doakan semoga kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang
cinta kepada baginda (sallallahu alayhi wasalam) dalam pengertian yang
sebenarnya, AMIN.
No comments:
Post a Comment